Malam ini keadaan begitu sayu. Malam hening bagai menggambarkan rasa hati yang mahukan ketenangan. Bukan ketenangan apa yang dicari, sebaliknya ketenangan untuk mencapai mardhatillah (keredhaan Allah). Diakui bukannya mudah untuk menjadi istiqamah.
Untuk menjadi Muslim yang sejati, pengorbanan itu satu kemestian. Bukannya mudah sebaliknya sangat sukar. Sangat sukar kerana bukankah nilai syurga Allah itu mahal harganya? Maka, untuk mencium bau syurga, perlulah ada pengorbanan dan usahanya.
Acapkali sering kita terlupa untuk bertaubat daripada dosa-dosa. Andai sudah bertaubat sekalipun, kita masih adakalanya akan mengulang kembali dosa-dosa tersebut. Begitu lemahnya jiwa dan hati seorang manusia ini. Sungguh beruntung buat mereka yang telah terpilih untuk istiqamah dan tsabat menjadi Muslim sejati. Berjihad melawan hawa nafsu dan godaan syaitan. Bukannya mudah untuk melawan. Maka untunglah buat mereka yang mampu.
Sungguh kuasa Allah itu melebihi segala-galanya. Hatta, sekeping hati pun hanya mampu disentuh olehNya. Bagaimana bumi ini mengelilingi matahari. Bagaimana ombak sentiasa akan memukul pantai. Bagaimana matahari dan bulan akan sentiasa bersilih ganti menemani bumi. Dari dulu hinggalah ke hari ini. Begitu hebat kuasa Allah.
Kita semua mengakui kuasa dan kebesaran Allah ini. Tapi masih, kita berbuat dosa. Sungguh hinanya kita. Di kala dosa-dosa berlarutan, Allah masih dengan sifat yang Maha Penyayang masih mengurniakan kita nikmat. Sungguh kita terlupa pada kebesarannya. Kita masih berbuat mengikut kehendak nafsu. Langsung tiada rasa untuk membalas cinta Allah.
Ya Allah, ampunkan kami di atas segala dosa-dosa yang telah kami lakukan. Ampunkan kami.
No comments:
Post a Comment