Salam wbt.
Segagah mana pun mana-mana pahlawan, kata-kata yang tajam mampu jua untuk menembusi jiwa seseorang lelaki. Tidak salah kata-kata ini "Ayat-ayat yang kesat lebih tajam daripada sebilah pedang". Benar kata orang tua-tua, jalan dakwah ini tidak pernah mudah. Tidak pernah selesa. Tidak pernah mewah. Herdikan, makian dan cacian adalah asam garam yang menyelaputi diri dan jiwa seorang da'ie.
Tak dapat dibayangkan bagaimana pengorbanan Rasulullah yang dicaci, yang dimaki, yang dipulaukan malah pernah jua dibaling najis oleh kaumnya. MasyaAllah. Nasib yang dialami oleh generasi da'ie masa kini tidak sampai sekelumit pun daripada pengorbanan Rasulullah dalam misi menegakkan syiar Allah.
Ada yang mengkritik, para da'ie ini tidak layak untuk berdakwah. Da'ie ini hanya layak untuk menasihat diri sendiri. Benar. Tidak salah sama sekali. Para da'ie sememangnya perlu mentarbiyah diri sendiri terlebih dahulu. Tetapi jangan dilupa, di dunia yang akan kiamat ini, kewajipan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keizzahan masyarakat.
Untuk para pengkritik, kritiklah semana mampu selagi ianya membantu para da'ie untuk berjuang. Kata-kata anda semua bagaikan peransang dan motivasi buat para da'ie untuk terus berjuang di jalan ini. Tidak pernah melembikkan, malah semakin menguatkan. Syukran.
Untuk para da'ie, hargailah kata-kata para pengkritik apabila anda semua dicemuh. Apabila penulisan anda dibalas dengan kata-kata kesat, bersyukurlah. Itu tandanya, penulisan anda telah pun dibaca. Allah dan Rasulullah pasti gembira. Bersabarlah kerana hanya Allah yang boleh menilai niat dan hati kita. Bukan manusia.
Kerja da'wah ini tidak pernah akan berakhir. Malah ianya akan menjadi semakin kuat. Akan semakin dibantu Allah Yang Maha Pencinta. Percayalah. InsyaAllah.
Khalas.
No comments:
Post a Comment