Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera.
Sakit. Derita. Duka. Kita sering atau mungkin pernah merasai "rasa" ini. Rasa yang acap kali membuatkan kita patah hati, derita, dalam bebanan dan berbagai lagi terma lain yang boleh digunakan untuk melambangkan perasaan manusia ketika mengalami sakit.
Ada yang sakit disebabkan menghidap penyakit. Yang hanya menunggu maut. Ada yang derita ditinggal kekasih. Ada yang duka kerana gagal dalam karier mahupun pelajaran. Ada yang derita kerana kononnya fizikal tidak cantik. Ada yang derita kerana sering disisih. Jutaan sebab membuatkan kita berduka dan sakit.
Secara fitrahnya, memang benar manusia akan mudah rasa pedih dan derita tersebut. Dan disebabkan itulah kita perlukan sebutir antidot untuk mengubati sakit tersebut. Salah satunya adalah dengan memupuk keyakinan hati dan jiwa terhadap anugerah sakit yang dialami.
Kenapa saya katakan sakit ini sebagai suatu anugerah sedangkan rasa sakit membuatkan manusia derita? Hal ini adalah kerana rasa sakit itu adalah daripada Allah. Dan kita semua tahu Allah itu adalah pencipta kita yang agung. Bukankah Pencipta kita itu Yang Maha Bijaksana lagi Maha Bertimbangrasa. Pasti Dia lebih tahu apa hikmah dan kebaikan di sebalik rasa sakit yang Dia anugerahkan tersebut.
Manusia sebagai hambaNya yang hina hanya perlu bersabar dan benar-benar yakin bahawa Allah telah melakarkan kebahagiaan di balik penderitaan tersebut. Keyakinan bahawa Allah itu Maha Penyayang perlu benar-benar kukuh dan konrit di sanubari setiap Muslim khususnya. Allah ada berfirman, ”Dan Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (Ali Imran:146).
Nabi Muhammad juga ada bersabda ”Sungguh unik perkara orang mukmin, sesungguhnya semua perkaranya adalah baik. Jika ia mendapat kebahagiaan, ia bersyukur dan jika ia mendapat ujian ia bersabar, maka (hal itu) merupakan kebaikan baginya.” (HR.Muslim)
Maka sebagai hambaNya, bersabarlah kita. Tanamkan di dasar jiwa keyakinan untuk melafazkan dialog "sabarlah sebentar, selepas ini Allah akan memberikan kebahagiaan kepadaku.. Bersabarlah sebentar. Allah sayang aku.." tiap kali dilanda kesakitan atau musibah.
Yakinlah sentiasa setiap derita yang melanda itu akan ada hikmah dan kebaikan di balik berlakunya musibah tersebut. Kita wajib untuk bersyukur kerana Allah memilih kita untuk berasa sakit. Ianya adalah suatu nikmat yang tidak ternilai. Sungguh rugi orang yang mengeluh apabila dilanda derita. Ini kerana Allah memilih kita untuk mendampingiNya dan makin kerap "berkomunikasi" denganNya.
Syukur Ya Allah. Kerana masih anugerahkan aku sedikit kudrat untuk menulis.
Thank You Allah.
1 comment:
Post a Comment