Saya berasa terpanggil untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh kebanyakan ahli dan penyokong Pas yang mengatakan bahawa UMNO adalah sebuah part politik yang sekular dan tidak mahu Islam ditegakkan di bumi Allah ini sehingga ada yang berani mengeluarkan fatwa bahawa orang UMNO ini kafir. Amboi, berani betul orang ni ye mengkafir-kafirkan orang. Dah maksum agaknya. Yang peliknya, ahli-ahli Pas tidak pernah pula hendak menegur pemimpin mereka ini. Pelik bin Ajaib.
Wahai orang Pas, adakah anda sedar anda sedang menghukum saudara se-Islam anda sendiri? Hentikanlah perbuatan-perbuatan jahil seperti ini saudara-saudaraku. Harus diingat, UMNO juga misinya adalah untuk meletakkan Islam di hierarki tertinggi di bumi Allah ini. Jika benar UMNO ini menolak Islam dan "kafir", tidak akan diajar sistem perundangan Islam di universiti-universiti tempatan. Tidak akan diajar kepada para pelajar undang-undang bahawa Syariah itu wajib untuk dilaksanakan jika UMNO tidak mahukan Syariah. Jika benar UMNO ini kafir, boleh saja UMNO itu mengharamkan pengajaran tentang perundangan Islam di universiti-universiti. Sebaliknya UMNO mahukan para pelajar, golongan Muslim terutamanya untuk mendalami ilmu dan pengetahuan dalam bidang perundangan Islam.
Begitu juga dengan perkembangan sistem perbankan Islam dan sistem pendidikan yang berteraskan Islam. Kalau benar UMNO ini kafir, akan dirobohkan dan dilanyak-lanyak sahaja sekolah-sekolah pondok di negara ini. UMNO mahu Islam ditegakkan di dunia ini, tetapi harus diingat mekanisma dan modus operandinya berbeza dan lebih lembut yakni berhikmah. Kita harus jelas bahawa kita hidup di dunia yang kuasa dominannya adalah tamadun barat.
Maka untuk mencapai sebuah tamadun kerajaan Islam, pendekatannya haruslah dilakukan perlahan-perlahan dan bersistematik agar tiada pihak yang tersinggung apatah lagi kita hidup di bumi Malaysia yang mana tinggalnya masyarakat berbilang bangsa dan agama. Jika kita terus melakukan promosi besar-besaran inginkan sebuah kerajaan Islam, Islam itu akan dipandang tamak dan pentingkan diri oleh golongan bukan Islam.
Nabi Muhammad saw juga memulakan misinya untuk mengembangkan Islam dengan dakwah secara bersembunyi. Ini untuk mengelakkan masyarakat setempat daripada dilanda kejutan dan pastinya idea itu akan ditentang oleh golongan bukan Islam seperti mana yang DAP lakukan.
Oleh itu, Pas dan UMNO harus bersama-sama untuk menjalankan dakwah di bumi Malaysia ini kerana kedua-duanya adalah parti Islam agar Islam itu dipandang mulia oleh masyarakat. Begitu juga, jika ada kelemahan dalam pelaksanaan kedua-dua parti ini, ubahlah. Berubah sebelum rebah. Sekian. Wallahualam.